Puisikarya Bung Johar
Nafs
antara kita selalu saja ada pertengkaran dan permusuhan yang membuat kita tak pernah mahu bersahabat walau kau tetap mengikuti jejakku dari lembah ke lembah, dari bukit ke bukit, dari sungai ke sungai, dari titik ke titik, dari huruf ke huruf kau menyihirku dengan impian-impianmu yang sudah berjuta-juta tahun silamnya semenjak syurga ditinggalkan Adam dan Hawa kerna kau juga yang turut menjebak mereka memakan buah pohon terlarang itu. kau hanya berpura-pura saja ketika maujud di rumah perahu ini kerna antara kita memang tiadanya tersemai rasa cinta sejak azali dan awali kau diciptakan dari anasir api yang amat panas bertenaga mendidihkan wap bumi hingga membuih ketulan-ketulan asap dengki kasmaran. ah, sia-sia saja kau membenturkan suara air di tengah ruang sunyi atmosfir kerna benih-benih dendam yang pernah kautanami dalam setiap inci lubang langit tak bisa ditutupi lagi oleh hakikat wajahmu atas nama alasan ‘aku adalah aku, Kau adalah Kau’. biar pun kau tak pernah mahu menoleh ke arah pintu kematian itu tapi kau masih terhukum jua di sel-sel penjara kematian dan terus berpindah-randah dari mayat ke mayat demi kecemburuanmu enggan membebaskan aku dari takluk hukum-hakam. sudah jelas antara kita tak mungkin adanya persamaan budi kerna Rabb tidak menciptakan barang berwujud dan hanya Dialah saja Zat wajibal wujud dalam zikir sirr hakikatku yang senantiasa kutaati perintahNya maka aku harus mencari penghidupanku yang sebenar dan keluar dari kasus kuburmu yang berupa darah, tulang-belulang, urat nadi, daging dan otak yang menjenterai berahimu di singgahsana istana khayalan. beribu-ribu abad lamanya kau terseksa dalam larut nyala lidah api sebelum Adam dibentuk dari saripati tanah kerna kau mahu disembah dari sekalian penyembah dan enggan menyembah kepada yang Haq disembah atas pengakuanmu adanya dua wujud ‘aku adalah aku, Kau adalah Kau’ maka kau sanggup durhaka untuk tidak berbai’ah kepada Adam. jika tidak kepada Adam kepada siapakah Rabb akan mentajallikan DiriNya sebagai Kanzun Mahfiyyan ‘Akulah yang Awal Akulah yang Akhir, Akulah yang Zahir Akulah yang Bathin?, Adam hanyalah titik terang yang terpercik dari KalamKu di balik alam al-ama’ yang penuh kegelapan maka sujudlah kepada Adam demi perintahKu yang diturunkan dari Al-Rahman ke Loh Mah Fudz ke relung sukma Adam dan usahlah kau halang keluar-masuk nafasku kerna aku harus kembali memulangkan amanahNya kepada Zat, Sifat, Asma’, Af’al walaupun kau mendakwa yang memancut kesyuhudanku dari tulang sulbi ke alam mulki selama diam bersuluk dalam wadi, mani, manikam. ah, usah kau menyihirku dengan kilau warna-warni itu kerna kutahu asal-usulku berada pada titik yang belum tercipta segala yang maujud akulah jauhar dalam ‘ayan thabitah itu sirr fil sirr!
Puisikarya Bung Johar

0 Comments:
Post a Comment
<< Home